Saturday, August 16, 2014

Peranan GURU

Mengikut Imam al-Ghazali, peringkat mencari ilmu adalah sama seperti orang yang mahu mencapai taraf hartawan. Jika seorang hartawan bermula dengan mencari dan mengusahakan harta, lalu menyimpan apa yang sudah diusahakannya sehingga da tidak perlu lagi meminta, kemudian membelanjakan harta itu untuk dirinya, dimanfaatkannya harta itu dan akhir sekali memberi kepada orang lain, maka jadilah dia seorang dermawan.


Begitu jugalah bagi yang hendak menjadi orang yang berilmu, dia harus melalui empat tahap iaitu:
  •  Mencari dan mengusahakan; 
  • Mengumpul hingga tidak perlu lagi bertanya;
  • Meneliti iaitu menggunakan ilmu yang sudah dikumpulkan serta memanfaatkannya; dan
  • Mengajarkannya kepada orang lain.

Sebenarnya orang yang berilmu lebih mulia daripada orang lain. Orang yang berilmu dan beramal, kemudian mengajar, boleh dianggap seperti orang besar di alam ini. Ia boleh diumpamakan seperti matahari yang sentiasa memberi sinar kepada yang lain kerana ia sendiri adalah sinaran yang sangat bercahaya. Ia juga boleh diumpamakan seperti kasturi yang memberi haruman kepada yang lain kerana ia sendiri sebenarnya adalah bauan yang semerbak harumnya.
Orang yang berilmu menjadi mulia jika dia beramal dengan ilmunya. Jika tidak demikian, dia adalah laksana sebuah buku tulis sahaja. Dia memang berguna kepada orang lain, tetapi dirinya sendiri kosong daripada ilmu. Dia juga umpama batu asahan, walaupun dapat menajamkan besi, dia sendiri tetap tumpul. Bahkan juga boleh diibaratkan seperti sebatang jarum, walaupun dapat menjahit pakaian orang, dia sendiri tetap telanjang. Atau ibarat seperti sumbu lampu, walaupun dapat menerangi orang lain, dia sendiri sentiasa terbakar.
Seseorang yang berilmu boleh dianggap sebagai guru yang harus dipandang mulia kerana dia dapat mengajar orang lain. Seorang guru haruslah sedar bahawa tugasnya adalah sangat berat dan sentiasa pula menghadapi banyak risiko. Antara tanggungjawab guru ialah menyayangi pelajarnya dan memperlakukan mereka seperti anaknya sendiri. Ia bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Hurairah yang bermaksud: "Aku dan kamu adalah laksana seorang ayah dengan anaknya."
Guru hendaklah mengajar dengan niat untuk menyelamatkan pelajarnya daripada neraka atau kesusahan akhirat. Dalam perkataan lain, tanggungjawab guru amat besar berbanding tanggungjawab ibubapa kerana mereka adalah pemimpin yang dapat memandu pelajar menuju kehidupan yang abadi dengan cara mengajar ilmu akhirat atau ilmu dunia sebagai jalan menuju akhirat; bukan menuju dunia semata-mata.
Guru juga hendaklah meneladani Nabi SAW iaitu tidak mengajar dengan niat untuk mendapat upah semata-mata atau mengharapkan balasan dan ucapan terima kasih daripada orang lain, sebaliknya mereka mestilah ikhlas mengajar kerana Allah dan untuk mendekatkan diri kepadanya.
Guru jangan sekali-kali menganggap dirinya orang yang paling berjasa kepada pelajar, sekalipun pelajar wajib erteribma kasih kepadanya, sebaliknya dia hendaklah menganggap pelajarnya berjasa kepadanya, kerana dengan adanya mereka, dia dapat mendekati Allah dengan jalan menanamkan ilmu kepada mereka. Guru hendaklah mengutamakan pahala mengajar kerana ia lebih besar daripada jasa yang dia sendiri harapkan. Bayangkan, bolehkah guru mencapai pahala sekiranya tidak mempunyai pelajar? Oleh itu janganlah mengharapkan upah selain daripada pahala Allah. Firman Allah dalam Surah Hud, ayat 29 yang bermaksud: "Hai kaumku, aku tidak meminta upah kepadamu dalam hal ini kerana upahku daripada Tuhan."
Guru hendaklah mengamalkan ilmunya sehingga ucapannya tidak bercanggah dengan perbuatannya. Ilmu dapat ditinjau dengan mata hati, sedangkan amal boleh dilihat dengan mata kepala. Orang yang memandang dengan mata kepala lebih ramai daripada orang yang memandang dengan mata hati. Oleh itu, apabila amalannya berlainan daripada ilmunya, maka akan hilanglah kewibawaaanya.
Pendidik dengan anak didiknya adalah laksana acuan dengan tanah liat dan ranting kayu dengan bayang-bayangnya. Bagaimanakah tanah liat boleh menjadi bentuk jika acuan itu licin dan bagaimana bayang-bayang akan menjadi lurus jika rantingnya bengkok? Firman Allah dalam ayat 44, Surah al-Baqarah, yang bermaksud: "Patutkah kamu menyuruh orang ramai berbuat baik, sedangkan kamu lupakan dirimu sendiri? Tidakkah kamu sedar yang kamu pernah membaca kitab? Apakah kamu tidak berakal?
Memandangkan akibat yang sangat buruk itu, maka dosa orang berilmu yang berbuat maksiat adalah lebih besar daripada dosa orang yang tidak berilmu kerana kesesatannya boleh menyesatkan ramai orang yang mengikutinya.
Oleh itu tugas dan tanggungjawab guru adalah luas dan berat. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab kepada masyarakat tetapi juga kepada Allah. Tidak hairanlah dengan tanggungjawab yang amat luas dan berat ini, sudah pasti guru sentiasa akan menghadapi cabaran yang banyak. Namun demikian, bagi guru yang sebenar, semua beban itu adalah medan yang luas baginya untuk berjihad dan beramal.  

No comments:

Post a Comment